Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Semua sekolah dibenarkan menganjurkan hari sukan secara percuma di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bermula dari bulan Oktober.

SNBJ ialah gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya dan tapak penganjuran konsert.

Menurut Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh tawaran istimewa itu diberikan bersempena ulang tahun ke-25 Kuala Lumpur Sports City (KLSC), di mana semua sekolah dapat menggunakan SNBJ secara percuma bagi tempoh dua tahun.

Tambahnya, pelaksanaan konsep merakyatkan sukan melalui penggunaan fasiliti sukan di bawah PSM telah dipersetujui dalam mesyuarat perbadanan itu pada 17 Julai lepas dan kegunaan secara percuma untuk sambutan hari sukan sekolah itu tertakluk kepada kekosongan jadual tempahan.

“Ini selaras dengan pengumuman sebelum ini bahawa kita nak fokus olahraga sebagai satu sukan pembangunan akar umbi di peringkat sekolah. Saya mahu murid rasai pengalaman berlari 100 meter di SNBJ kerana ia mungkin beri inspirasi kepada mereka untuk menjadi atlet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media malam penghargaan dan sambutan ulang tahun ke-25 KLSC, malam tadi.

Tawaran serupa ditawarkan oleh Kompleks Sukan Jalan Duta dan Kompleks Sukan Bukit Kiara dan perkara ini disahkan oleh Perbadanan Stadium Malaysia.

“Sebelum ini, pihak sekoleh perlu bayar (kos sewa) dengan kadar diskaun jika mahu gunakan stadium, jadi selepas ini mereka dijemput membuat tempahan dengan PSM yang dijangka dibuka bermula bulan depan,” katanya.