Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengesahkan bahawa Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan disoalsiasat berkenaan kes rasuah dan salahguna kuasa dalam isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Menurut ketua pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, seramai 12 saksi sudahpun dipanggil dan dirakam percakapan.

“Saya tidak nafikan, beliau (Muhammad Sanusi) juga akan dipanggil kerana surat berhubung dengan perlombongan yang tular itu ditandatangani oleh beliau.

“Antara yang kita akan tanya, perkara itulah (surat berhubung perlombongan), sebab surat itu tular. Kalau betul, betullah (seperti yang dikatakan) dan jika tidak betul beliau kena nyatakan,” katanya selepas Program Cakna Rasuah SPRM bersama Media Zon Timur di Terengganu.

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu bila Sanusi akan dipanggil untuk disoalsiasat.

“Bila akan panggil belum tahu lagi kerana saya serahkan kepada pegawai penyiasat dan mereka akan tentukan bila akan dipanggil,” katanya.

Azam turut mengesahkan pihak pegawai penyiasat sedang mengesan beberapa individu luar dari China.

“Saksi yang kita sedang kesan ini dikatakan membuat pelaburan kepada perlombongan REE ini dan pegawai penyiasat sedang mengesan saksi-saksi ini.

“Malah, sesiapa saja yang kita rasakan perlu panggil untuk dirakam percakapan, kita akan panggil tidak kira siapa, cuma cepat atau lambat saja,” katanya.

Tiada tekanan politik

Azam turut menafikan ura-ura bahawa SPRM berdepan tekanan dalam siasatan kes ini terutamanya tekanan politik memandangkan pilihan raya negeri yang akan berlangsung pada 12 Ogos.

“Tidak ada sesiapa yang menekan kami dalam kes REE ini dan kes ini juga tidak ada kaitan dengan PRN,” katanya.

Semalam seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan seorang pengarah syarikat wanita telah ditahan reman oleh SPRM berkaitan kes ini.