Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Besar sementara Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan bahawa kebanyakan kerusi yang ditawarkan untuk ditandingi UMNO di Selangor merupakan kerusi yang sebelum ini dikhaskan untuk Bersatu dalam pilihan raya yang lalu.

Beliau menambah bahawa hanya ada satu dua kerusi Pakatan Harapan yang ditawarkan kepada UMNO atas dasar perpaduan.

“Kami lepaskan apa yang kami anggap untuk setiap parti sebelum ini pada pilihan raya umum ke-14… Sudah tentu kerusi yang dimenangi Bersatu ketika bertanding di bawah bendera PKR.

“Dan satu atau dua (kerusi PH) kepada Umno atas semangat perpaduan,” katanya pada temu bual di segmen Breakfast Grille di radio BFM.

Amirudin yang juga naib pengerusi PKR turut menegaskan bahawa senarai calon yang tular merupakan senarai cadangan calon yang belum diputuskan. Perkara tersebut akan dibincangkan pada lusa.

“Ia semata-mata senarai PH dan Umno. Tetapi saya belum melihatnya lagi. Kami akan mengadakan mesyuarat pada 16 Julai ini.

“Ya, (kami kemukakan) cadangan, tetapi ini belum muktamad. Saya tidak boleh umum, saya tidak boleh mengulas tentang senarai itu.

“Sudah tentu, presiden ada hak, pengarah pilihan raya negara kita Rafizi (Ramli) ada hak. Kita hanya susun calon-calon dari peringkat bahagian,” katanya.

Amirudin turut membidas slogan Perikatan Nasional, Selangor Baharu sebagai satu usaha kitar semula kerana tiada perkara baharu yang ditawarkan oleh pakatan pembangkang.

“Ini bukan ‘baru’ atau perubahan dalam kepimpinan. Bagi saya, propaganda Selangor Baharu hanyalah kitar semula.”

Beliau turut mengulas isu perpindahan undi antara BN dan PH.

“Saya rasa kita perlu menjelaskan kepada jentera kita, teruskan menjelaskan kepada pengundi betapa pentingnya perpaduan dan untuk sejajar dengan kerajaan persekutuan untuk pemulihan ekonomi.”