Sorting by

×

Jawatankuasa pemilihan calon DAP sebulat suara menamakan Chow Kon Yeow sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang untuk penggal yang kedua.

Keputusan ini mendapat restu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Chow ialah Adun Padang Kota sejak 2004 dan Ahli Parlimen Batu Kawan sejak pilihanraya umum ke-15.

Jawatankuasa tersebut turut mengumumkan pembaharuan besar dalam barisan Exco kerajaan negeri dari DAP.

“Proses pembaharuan ini adalah satu keperluan untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan kepimpinan DAP di Pulau Pinang yang lebih muda, dinamik dan berupaya untuk menerajui dan memimpin Pulau Pinang ke arah yang lebih maju dalam semua bidang demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat,” kata jawatankuasa tersebut dalam satu kenyataan.

Senarai calon lengkap akan diputuskan dalam mesyuarat seterusnya dan diumumkan selewat-lewatnya seminggu sebelum penamaan calon.

Tujuh dari 11 barisan Exco terdiri dari anggota DAP.

Sebelum ini beberapa nama yang diuar-uarkan untuk ditukarkan termasuk Chong Eng dan Phee Boon Poh.

Pilihan raya negeri Pulau Pinang dijadualkan berlangsung pada 12 Ogos.