Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Parti Sarawak Bersatu (PSB) malam kelmarin mengumumkan sokongan mereka kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi membolehkan dasar Malaysia Madani di laksanakan sepenuhnya.

Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, pilihan mereka untuk menyokong kepemimpinan semasa Kerajaan Persekutuan dan Sarawak adalah bagi memastikan kestabilan dan perpaduan negara.

“Pada masa ini, di dalam negara kita ada dua kuasa politik yang bertentangan antara satu sama lain, satu dengan kesederhanaan mencari kata sepakat dan bertolak ansur sementara satu pihak lagi menggunakan perkauman, ekstremisme dalam agama, selain pecah dan perintah.

“Untuk kestabilan dan perpaduan negara, pilihan buat kami adalah jelas,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Anwar perlu diberi sokongan sepenuhnya bagi membolehkan pentadbiran baharunya melaksanakan matlamat Malaysia Madani untuk membasmi rasuah dan ketidakcekapan serta memperbetulkan apa yang salah pada masa lampau dan menyingkirkan faktor perpecahan dalam kalangan rakyat.

“Kami tahu Kerajaan GPS (Gabungan parti Sarawak) telah memberikan sokongan sepenuhnya kepada Kerajaan Perpaduan.

“Maka kami PSB di peringkat negeri berikrar memberikan sokongan sepenuhnya kepada Premier kami (Abang Johari) dalam semangat perpaduan bagi membolehkan beliau meneruskan inisiatif Sarawak diutamakan,” katanya.

Untuk rekod, PSB hanya memenangi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri pada 2021.

Semalam, Wong menandatangani satu memorandum persefahaman dengan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang dipimpin Datuk Seri Tiong King Sing di Kuala Lumpur.

Dalam majlis itu, King Sing berkata, PSB dan PDP telah mencapai kata sepakat untuk menyokong satu sama lain dan kedua-duanya berusaha untuk melihat kemakmuran dan kestabilan politik di dalam negara.

Sarawak kini berbaki cuma dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Chong Chieng Jen (DAP-Padungan) dan Violet Yong (DAP-Pending) daripada keseluruhan 82 ADUN.