Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembahagian kerusi yang melibatkan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional telah dimuktamadkan bagi menghadapi pilihan raya negeri pada 12 Ogos.

“(Pembahagian kerusi) telah dimuktamadkan di semua negeri (cuma) ada satu dua negeri saja yang kita akan bincang dan malam ini akan selesai,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia di Menara Dato Onn WTC, Kuala Lumpur, malam tadi.

“Calon akan diumumkan dalam dua tiga hari ini dan kita akan bagi tarikh,” katanya ketika ditanya berkenaan calon.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata BN akan mengumumkan keputusan pembahagian kerusi BN pada 21 Julai.

“Untuk BN, kita akan umumkan pada 21 haribulan (Julai), malam. Untuk seluruh enam negeri,” kata beliau.

Anwar turut mengumumkan Jelajah Perpaduan Madani dan pelancaran jentera perpaduan akan diteruskan di Kedah pada 15 Julai diikuti Pulau Pinang (16 Julai), Kelantan (23 Julai), Negeri Sembilan (27 Julai) dan Terengganu (28 Julai).

Tema yang dibawa oleh gabungan PH-BN dalam pilihan raya ini ialah Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran.