Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan amaran terakhir kepada semua pihak agar tidak menggunakan isu 3R (kaum, agama dan raja).

Beliau yang merujuk kepada pihak yang menggunakan isu ini sebagai pelampau berkata bahawa tiada yang akan terkecuali dari tindakan undang-undang sekiranya memanipulasi isu 3R.

“SKMM dan PDRM tanpa pengecualian akan pantau semua, kalau pelampau itu orang Melayu atau berpangkat tinggi sekali pun atau dalam bahasa Mandarin atau Tamil itu bukan persoalannya.

“Kalau langgar peraturan dan undang-undang, mencabar perlembagan dan menyemai bibit-bibit perpecahan, konsensusnya bukan saja dalam kerajaan, dalam parti.

“Malah, dalam perbincangan dengan Raja-raja Melayu menggesa supaya negara ini diselamatkan dari kelompok-kelompok yang sangat terdesak untuk mempertahankan kuasa sehingga sanggup mengorbankan kepentingan rakyat dan menimbulkan huru-hara dan perpecahan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia di Menara Dato Onn WTC, Kuala Lumpur, malam tadi.

Beliau turut menegaskan kedudukan tinggi pihak terbabit tidak bermakna sama sekali kerana kepentingan negara dan keselamatan negara mengatasi kepentingan mana-mana pihak.

“Saya selaku perdana menteri tidak pilihan kerana desakan daripada kalangan berfikir dan untuk pertahankan keselamatan negara ini mengatasi kepentingan.

“Ini kerana ada orang-orang tertentu yang merasakan kedudukan mereka itu terlalu tinggi dan hebat sehingga tidak mungkin terdakwa atau tercabar.

“Negara tidak boleh begitu, kita tak boleh pandang dan pilih kedudukan, pangkat, keturunan atau kekayaan. Kalau begini pandangannya ia akan merosakkan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan memandang serius terhadap pihak yang mengapi-apikan isu 3R.

“Negara tidak boleh bertahan dan stabil kalau dibiarkan unsur-unsur kecil ini yang sangat terdesak untuk membuat apa saja hanya untuk mempertahankan kuasa atau pun mencari pengaruh baru.

“Saya anggap keadaan ini sudah sampai agak serius kerana sudah puluhan tahun kita belum nampak dan lihat kenyataan-kenyataan yang melampau yang dibiarkan.

“Jadi, setakat ini cukup mesej saya. Maknanya, amaran terakhir dari kerajaan,” katanya.