Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KULAI: Johor dijangka menerima 10 set tren komuter baharu bagi perkhidmatan Shuttle Selatan dalam usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam rel di negeri ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pelaburan jangka panjang itu melibatkan pelaburan berjumlah lebih RM200 juta.

Beliau berkata ketika ini, dua set perkhidmatan Shuttle Selatan yang dirasmikan hari ini menggunakan aset sedia ada susulan siapnya Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Gemas-Johor Bahru yang membolehkan perkhidmatan ETS beroperasi terus ke Johor Bahru Sentral.

“Kita menggunakan set tren sedia ada untuk memulakan perkhidmatan ini. Namun bagi perancangan jangka panjang, kita telah ada projek untuk mendapatkan 10 set Komuter Selatan yang baharu.

“Ini merupakan pelaburan untuk masa depan bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam rel di Johor terus diperkasakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen KTM Kulai, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.

Loke berkata tren baharu jenis Electric Multiple Unit(EMU) itu dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk diperoleh sebelum dapat digunakan sepenuhnya.

Katanya, sementara menunggu aset baharu tersebut, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggunakan tren sedia ada bagi menggerakkan perkhidmatan Shuttle Selatan yang menghubungkan Kulai dengan Johor Bahru Sentral serta Kempas Baru dengan Pasir Gudang.

Sementara itu, beliau berkata dua tren pertama yang memulakan operasi hari ini tidak melibatkan sebarang peruntukan aset baharu memandangkan KTMB menggunakan tren sedia ada, namun, Kementerian Pengangkutan (MOT) memperuntukkan antara RM11 juta hingga RM15 juta setahun bagi membantu kos operasi perkhidmatan berkenaan.

“Tren berkenaan sebelum ini digunakan untuk laluan Johor Bahru-Gemas. Jadi dari segi aset, tidak perlu aset tambahan tetapi untuk mengaktifkan perkhidmatan ini, ada kos operasi seperti diesel, tenaga kerja dan sebagainya. Kita jangkakan ada kekurangan kerana tidak dapat menampung kos operasi hanya melalui tiket.

“Ada kekurangan yang perlu ditampung oleh KTMB. Jika kita tidak bantu KTMB, kerugian mereka akan menjadi lebih besar dan tidak mampu ditanggung,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata sekiranya sambutan baik, kekerapan perjalanan dan laluan perkhidmatan akan ditambah pada masa akan datang.

Pelancaran Shuttle Selatan hari ini adalah kerjasama strategik antara MOT, KTMB dan Perbadanan Aset Keretapi.

Sebanyak 3,000 Kad MADANI Shuttle Selatan diedarkan dengan nilai RM50 setiap kad hari ini, namun penggunaannya adalah percuma selama enam bulan.

Tambang perkhidmatan bagi laluan Kulai-JB Sentral adalah RM10.20 dengan masa perjalanan kira-kira 30 minit, melibatkan 10 perjalanan ulang-alik setiap hari.– BERNAMA