Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Seramai 35,000 pemandu teksi dan 18,000 pemandu bas sekolah dijangka menikmati caruman PERKESO yang ditanggung sepenuhnya kerajaan, mulai bulan depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata 90 peratus caruman itu akan dibiayai menerusi peruntukan Kementerian Kewangan manakala baki 10 peratus dibayar oleh Kementerian Pengangkutan untuk tempoh setahun.

“Kita difahamkan Kementerian Kewangan ada memberikan satu dana kepada PERKESO sebanyak RM100 juta untuk mencarum sehingga 90 peratus bagi pemandu teksi, e-hailing, p-hailing dan sebagainya.

“Walaupun 90 peratus, tetapi 10 peratus perlu dicarum sendiri oleh pemandu sendiri, jadi untuk golongan ini, kita akan membuat caruman tambahan 10 peratus itu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sua Kasih Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Loke berkata, Kementerian Pengangkutan akan melaksanakan inisiatif bantuan caruman PERKESO sepenuhnya kepada hampir 40,000 pemandu teksi di seluruh negara tahun ini.

Beliau dilaporkan berkata, bantuan terbabit antara usaha kementerian itu untuk memberi perlindungan keselamatan sosial kepada golongan berkenaan.

Jelasnya, semua inisiatif bantuan dilaksanakan Kementerian Pengangkutan, antaranya diperoleh daripada hasil bidaan nombor pendaftaran istimewa (NPI) yang dikelolakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Mengulas lanjut, Loke berkata, beliau sudah berbincang dengan PERKESO berhubung pelaksanaan inisiatif terbabit selain meminta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyerahkan senarai pemandu terdapat dalam pangkalan data mereka kepada PERKESO untuk disemak silang.

“Kita jangka Mac ini, dapat lancarkan inisiatif ini. Maksudnya pemandu teksi dan pemandu bas sekolah tak perlu mencarum satu sen pun untuk setahun, mereka cuma perlu daftar nama mereka.

“Jika sudah daftar sebelum itu, kita akan bagi slip caruman mereka dan ini bermaksud bahawa untuk golongan pemandu ini, dengan tambahan 10 peratus daripada Kementerian Pengangkutan, mereka tak perlu bayar sesen pun,” katanya.

Ditanya jika pelaksanaannya diteruskan untuk tahun depan, Loke berkata, ia bergantung kepada peruntukan ketika itu.-BH Online