Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Luar membuat laporan polis susulan penyebaran satu salinan Nota Diplomatik bertaraf sulit yang diterima Kedutaan Besar Malaysia di Rabat, Maghribi.

Kementerian itu berkata, laporan terbabit bertujuan membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung penyebaran Nota Diplomatik bertarikh 20 September 2023 itu.

“Kementerian Luar sentiasa menekankan kepentingan memelihara kerahsiaan komunikasi diplomatik dengan negara-negara sahabat dan rakan-rakan antarabangsa lain.

“Penyebaran dokumen berkenaan merupakan tindakan tidak bertanggungjawab. Hasil siasatan dalaman oleh kementerian ini mendapati penyebaran itu bukan berpunca daripada pihak dalaman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Kementerian Luar sudah memberi penjelasan berhubung perkara terbabit kepada negara sahabat berkenaan, dan menyatakan kekesalan atas perkembangan itu.

Katanya, Kementerian Luar juga memandang serius dan amat kesal dengan tindakan penyebaran Nota Diplomatik terbabit.

“Satu laporan polis sudah dibuat bagi membolehkan siasatan dimulakan. Kementerian ini akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam proses ini.

“Kementerian Luar menggesa supaya tindakan penyebaran dokumen berkenaan dihentikan, dengan mengambil kira implikasi negatif kepada keyakinan serta kepercayaan komuniti antarabangsa terhadap imej dan integriti Malaysia,” katanya.

Terdahulu, satu salinan Nota Diplomatik tersebar dalam media sosial, dipercayai berkaitan isu seorang lelaki mendakwa sebagai warga Maghribi dan berada dalam jalur keturunan Nabi Muhammad SAW.-BH Online