Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Bekas Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, mengabdikan hidupnya untuk membangun dan mensejahterakan Sarawak.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata sumbangan Abdul Taib terlalu besar sepanjang berkhidmat sebagai Ketua Menteri selama 32 tahun dan 10 tahun sebagai ketua negeri.

Justeru, Abang Johari mewakili seluruh rakyat mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada tokoh berusia 87 tahun itu.

“Tun Pehin Sri memulakan perkhidmatan awam pada usia muda apabila menjadi ahli Kabinet negeri pertama selepas Sarawak diberi kuasa pemerintahan sendiri oleh British pada 22 Julai 1963.

“Pada 1966, beliau berpindah ke peringkat Persekutuan dan berkhidmat dalam pelbagai jawatan menteri dalam Kerajaan Persekutuan.

“Beliau kembali ke Sarawak sebagai Ketua Menteri pada 1981 mengambil alih daripada Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’akub sebagai Ketua Menteri Sarawak keempat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketika menjadi Ketua Menteri, katanya, Abdul Taib mempamer kualiti sebenar sebagai pemimpin rakyat pelbagai kaum dan kepercayaan agama di negeri ini.

“Beliau menyatukan rakyat dan mewujudkan kestabilan politik di Sarawak di bawah dasar politik pembangunan.

“Beliau juga berperanan penting dalam melaksanakan dasar untuk menjamin masa depan Sarawak sebagai ekonomi moden, terutama dengan mengeksploitasi sumber kekayaan baharu di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Beliau adalah bapa Sarawak moden,” katanya.

Justeru, Abang Johari berkata, kualiti Abdul Taib sebagai pemimpin hebat dicontohi dalam melahirkan pemimpin baharu seperti Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, beliau sendiri serta pemimpin muda yang lain.

Abdul Taib dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh pada 1 Mac 2014 sehingga 26 Januari 2024.

Beliau diganti oleh Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang akan mengangkat sumpah jawatan ketua negeri itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, esok.-BH Online