Sorting by

×

Jumlah kerugian kes penipuan dalam talian yang direkodkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dari Januari hingga Disember tahun lalu, meningkat kepada RM1.34 billion, berbanding RM840 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun 2022.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata kes pelaburan tidak wujud mencatatkan jumlah kerugian tertinggi, iaitu RM437 juta diikuti e-dagang RM383 juta, telekomunikasi RM334 juta, e-kewangan RM104 juta, love scam RM41 juta dan pinjaman tidak wujud RM39 juta.

“Ini adalah rekod NSRC, maksudnya mereka yang menghubungi 997. Saya percaya pihak polis mungkin ada angka lebih lengkap kerana mungkin mangsa tidak menghubungi NSRC tetapi terus buat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program SWM Kasih Misi Sampul Merah di Kawasan Rukun Tetangga Taman Desa Kulai, di sini.

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan pelbagai tipu helah sindiket jenayah dalam talian terutama pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi.

“Tidak boleh dinafikan bahawa masih banyak lagi yang menjadi mangsa untuk pelaburan tidak wujud. Mangsa kehilangan semua duit simpanan mereka.

“Saya faham memang ada duit sikit, hendak seiring dengan inflasi, jadi salah satu cara untuk kita menjaga nilai adalah untuk buat pelaburan. Oleh itu, sangat penting kita membuat semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sama ada pelaburan itu diluluskan oleh mereka atau tidak,” katanya.-Berita RTM