Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin lebih ramai ahli Parlimen pembangkang akan menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinannya.

Perdana Menteri berkata, perkara itu dinilai daripada beberapa petanda yang menampakkan kepercayaan ahli Parlimen yang terbabit semakin terhakis terhadap teraju kepimpinan parti mereka sendiri.

“Diuar-uarkan persepsi untuk melemahkan (kerajaan) kerana apa lagi kekuatan dan harapan pembangkang selain daripada berikan harapan agar akan berlaku perubahan (kerajaan).

“Sebaik sahaja terhakis harapan ini maka orang-orang yang dijanji dan Ahli Parlimen yang yakin bahawa perubahan akan berlaku, bila tak berlaku maka seorang demi seorang akan meninggalkan parti mereka.

“Saya percaya melalui tanda-tanda yang boleh diyakini, ramai lagi ahli-ahli Parlimen yang akan terhakis keyakinan mereka dengan janji palsu yang dilakukan oleh Perikatan Nasional (PN) dengan tujuan dan matlamat ‘tebuk atap’, walaupun sebelum ini saya sudah menjawab berkenaannya.

“Cubaan dia (PN) di Malaysia gagal, maka dia pergi ke London (Langkah London) dan Dubai (Langkah Dubai). Dia lupa bahawa di Dubai dan London atap konkrit di sana jauh lebih tebal,” sinisnya.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian ketika berucap menyempurnakan perasmian penutup Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya, di sini hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dilapor mendakwa seramai 10 lagi Ahli Parlimen BERSATU dijangka memberi sokongan kepada Anwar menjelang pembukaan sidang Parlimen pada akhir Februari ini.

Anwar berkata, beliau juga optimis Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bermula 31 Januari ini akan meneruskan hasrat Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menekankan mengenai kepentingan perpaduan yang harus kekal walaupun antara parti politik.

“Al-Sultan Abdullah pada malam tadi menasihatkan pimpinan politik untuk terima kenyataan bahawa perpaduan mesti wujud serta harus kekal; dan sebaiknya parti-parti politik menumpukan perhatian bagi menjamin kestabilan, memacu pertumbuhan, menyelenggara negara dan menyelamatkan rakyat.

“Itu kenyataan terkini Agong malam tadi dan saya percaya apabila Sultan Johor sebagai Agong nanti, baginda bukan sahaja akan menegaskan, tetapi diyakini akan mempertahankan semangat yang sama. Maknanya Kerajaan Perpaduan MADANI ini akan menumpukan sepenuhnya ke arah membangunkan negara dan memacu pertumbuhan.

“Kita masih mempunyai minimum empat tahun untuk membuktikan keupayaan kita, Insya Allah,” katanya.-Berita RTM