Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH: Kerajaan memperuntukkan RM260 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tahun depan bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana, termasuk menyediakan kelengkapan penting untuk operasi menyelamat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata peruntukan itu akan membantu mengatasi kekurangan peralatan dalam kalangan agensi yang terbabit dalam operasi bencana, termasuk bot, pam air dan mesin penapisan air.

Beliau berkata, peralatan berkenaan penting bukan sahaja untuk operasi menyelamat, malah bagi memastikan bekalan air bersih dapat disediakan apabila bencana menjejaskan bekalan air.

“Kita tahu agensi yang membantu kita, termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, tidak mempunyai peralatan yang mencukupi.

“Justeru, kita membantu mereka membeli peralatan yang diperlukan. Ini antara langkah proaktif yang diumumkan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Meor Ismail Meor Akim.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan turut menyasarkan penambahan pusat pemindahan kekal di setiap negeri tahun depan, dengan keutamaan diberikan kepada kawasan berisiko banjir yang kerap dilanda bencana dan mencatatkan jumlah mangsa pemindahan yang tinggi.

Katanya, kerajaan menyasarkan penyediaan dua pusat pemindahan kekal bagi setiap negeri, namun kekangan kewangan menjadi cabaran untuk memenuhi keperluan itu dalam tempoh singkat.

“Sasaran kita ialah dua pusat bagi setiap negeri, tetapi dengan peruntukan tambahan tahun depan, jumlahnya akan ditingkatkan mengikut keperluan,” katanya.

Dalam Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan peruntukan RM260 juta kepada NADMA bagi memperkukuh kesiapsiagaan bencana negara.

Kerajaan turut bersetuju menggandakan bantuan kewangan bagi membaik pulih rumah mangsa bencana daripada RM5,000 kepada RM10,000.-BH Online