Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan tidak mencampuri urusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas mana-mana individu yang disyaki memiliki kekayaan yang meragukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pihak berkuasa bertanggungjawab untuk bertindak tegas dan berani kepada mana-mana individu yang dikesan memunggah kekayaan negara secara haram dan menggondol kekayaan berbilion ringgit termasuk pada zaman dahulu dan kini.

Beliau berkata, masyarakat termasuk pemimpin di negara ini perlu terus memberikan sokongan penuh terhadap siasatan berkenaan.

“Saya tidak hairan ada badan bukan kerajaan (NGO), ada cendekiawan ada kelompok yang anggap mereka itu pro, hak kebebasan dan sebagainya yang dikenali sebagai pejuang reformasi, pejuang gerakan anti rasuah tetapi dengan tidak disangka-sangka mempertahankan cara terang dan juga cara halus golongan perasuah besar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Perasmian Penutup Konvensyen Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Perak di Meru Raya, di sini.

Hadir sama Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan pimpinan tertinggi kedua-dua gabungan berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar berkata Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang dimulakan di Perak akan dilaksanakan di semua negeri.

Beliau berkata konvensyen itu dilihat berupaya memberi kekuatan dan nilai tambah kepada Kerajaan Perpaduan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Sekali lagi Perak mencetus perubahan dan mencipta sejarah, saudara jangan kita remehkan perpaduan ini antara kaum, antara agama di negara ini dianggap satu yang tidak boleh disangkal kenyataan politik sedemikian rupa dan dalam sejarah di Malaysia dan juga di negara-negara lain, kerajaan campuran atau perpaduan bukan sesuatu yang hal mudah,” katanya.

Tambah Anwar, gabungan parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan termasuk di Sabah dan Sarawak berjaya mematikan usaha untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Katanya, pelbagai langkah yang cuba dilakukan ditolak dengan tegas oleh pimpinan tertinggi parti-parti di dalam kerajaan.-Berita RTM