Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata sekretariat Kerajaan Perpaduan akan mengadakan pertemuan malam ini bagi membincangkan perkara mengenai pelantikan Yang di-Pertua Dewan Negara yang baharu.
“Supaya ia (pelantikan speaker Dewan Negara) dapat disegerakan,” katanya ketika di satu majlis di Universiti Malaya.
Kenyataannya berikutan susulan laporan media sebelum ini bahawa Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah meletak jawatan sebagai Speaker Dewan Negara dan sedang bersiap sedia untuk dilantik sebagai Yang di-Pertua Sarawak kelapan.
Beliau dikatakan bakal menggantikan Tun Pehin Sri Taib Mahmud.
Dalam pada itu, Anwar berkata proses pelantikan TYT yang baharu dikemukakan oleh Premier Sarawak Abang Johari Openg dan beliau telah mengemukakan nama calon kepada Yang di-Pertuan Agong minggu lalu untuk perkenan.
“…dan mungkin akan diumumkan satu dua hari ini,” katanya.