Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Mulai hari ini Program subsidi bersasar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM 700 juta diagihkan secara berperingkat dengan pelbagai penambahbaikan, termasuk perluasan kepada 210,000 penerima.

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan bagi program subsidi bersasar itu meningkat lima kali ganda berbanding RM 130 juta tahun lalu dengan jumlah terkini RM 700 juta.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan lebih besar itu membolehkan kerajaan menambah jumlah penerima SARA daripada 210,000 kepada 700,000 orang pada tahun ini.

“Alhamdulillah, sukacita saya maklum program subsidi bersasar SARA akan kembali bermula hari ini secara berperingkat.

“Selain itu, program SARA sudah ditambahbaik dengan peruntukan melonjak lebih lima kali ganda kepada RM700 juta, ketimbang perbelanjaan RM130 juta pada tahun lalu.

“Peruntukan lebih besar ini membolehkan kerajaan menambah jumlah penerima SARA kepada 700,000, ketimbang 210,000 pada tahun lalu,” katanya pada hantaran di Facebook, hari ini.

Pelaksanaan SARA akan bermula hari ini bagi penerima dari Semenanjung, manakala penyaluran bantuan tunai untuk penerima dari Sabah, Sarawak dan Labuan akan bermula 19 Februari ini.

Bagi penerima program SARA di Semenanjung, bantuan SARA akan disalurkan secara bulanan iaitu RM50 sebulan untuk bujang dan RM100 sebulan untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan.

Bantuan SARA kepada penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan akan disalurkan dua kali setahun iaitu RM300 untuk golongan bujang dan RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan pada 19 Februari dan 12 Ogos melalui pengkreditan ke akaun bank atau secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara.

Selain itu, penggunaan kredit program SARA akan diperluaskan kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.

Anwar berkata, jumlah bantuan juga dinaikkan sehingga RM1,200, iaitu kenaikan sekali ganda daripada tahun lalu.

“Nilai bantuan yang dipertingkatkan ini sebagai transformasi ekonomi Malaysia bermula dengan mengangkat darjat rakyat.

“Penambahbaikan program SARA ini, satu langkah awal untuk menangani kesenjangan kekayaan serta membina sebuah masyarakat yang inklusif seperti didambakan dalam kerangka Ekonomi Madani.

“Insya-Allah, kerajaan akan mengumumkan lebih banyak penambahbaikan kepada bantuan-bantuan lain bagi mengangkat ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan,” katanya.