Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyediakan borang pendaftaran manual bagi Sistem Pengkalan Data Utama (PADU) khusus untuk masyarakat luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata KKDW akan bekerjasama dengan Kementerian Ekonomi bagi memastikan proses pendaftaran itu lancar.

“Oleh kerana terdapat kaedah permohonan secara manual, kita akan lakukan perkara ini secepat mungkin. Ada borang (pendaftaran) tapi tidak semua boleh mohon dalam talian.

“Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dengan ketua kampung yang dilantik akan dimobilisasikan untuk pendaftaran PADU secara manual,” katanya selepas menghadiri Majlis Ponggal Perpaduan 2024, di sini hari ini.

Pendaftaran PADU dibuka kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas bermula 2 Januari lalu sehingga 31 Mac ini bagi membolehkan mereka mengemas kini dan mengesahkan 39 item maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.

Ia adalah pangkalan data sosio ekonomi negara yang bersepadu dengan menggabungkan data dari jabatan dan agensi kerajaan bagi memberikan gambaran seadilnya mengenai kedudukan sosio ekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.-BH Online