Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Penantian 292 peneroka di FELDA Jengka 24 untuk mendapat surat hak milik tanah mereka selama 40 tahun berakhir semalam selepas ia diserahkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Wan Rosdy Ismail.

Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud, berkata mereka memasuki tanah rancangan itu sekitar tahun 1985 hingga 1986 selepas ia dibuka untuk penempatan pada 1977 hingga 1978.

Katanya, semua peneroka yang tinggal di 14 blok di FELDA itu bersyukur kepada kerajaan negeri berusaha menyelesaikan hal pemilikan tanah terbabit selama 40 tahun.

“Selepas ini, kami akan lebih bersemangat membantu meningkatkan hasil keluaran sawit selepas menerima suratan hak milik ini,” katanya.

Razak berkata, kerajaan negeri sudah melakukan yang terbaik untuk rakyat dalam pelbagai bentuk pembangunan, inisiatif dan bantuan.

Sementara itu, peneroka, Zulmi Abdul Rahman berkata, kejayaan mendapatkan pemilikan tanah itu hasil kesabaran mereka selama 40 tahun mengusahakan tanah terbabit untuk membangunkan keluarga dan negara.

“Kami berikrar terus menjaga tanah ini untuk anak di masa depan sebagai lambang kekuatan keluarga.

“Selain itu, kami juga tidak akan terpengaruh dengan persepsi, fitnah dan tohmahan yang sengaja direka sesetengah pihak untuk memburukkan kerajaan negeri yang sangat prihatin dengan keperluan rakyat,” katanya.

Katanya, geran yang diterima mereka itu melengkapkan semua peneroka FELDA dalam Wilayah Jengka sudah menerima hak milik tanah masing-masing.-BH Online