Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengingatkan supaya kes ‘kartel perolehan’ membabitkan projek pembinaan di sebuah Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Johor bernilai lebih RM9 juta yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijadikan sebagai pengajaran.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin berkata, kegiatan sebegitu perlu dielak sama sekali memandangkan setiap projek yang telah diluluskan kerajaan seharusnya sampai kepada sasaran.

Justeru, beliau berkata pihak kementerian akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM sehingga selesai siasatan kes itu.

“MINDEF mengalu-alukan siasatan SPRM susulan penahanan tiga lelaki dipercayai bertindak sebagai dalang kepada ‘kartel perolehan’ membabitkan kerja pembinaan di sebuah kem TLDM di Johor.

“Ada siasatan dibuat (jadi) biarlah kita beri segala kerjasama supaya siasatan itu dapat diselesaikan dan kita harap supaya tindakan-tindakan sewajarnya diambil.

“Sebagai menteri saya amat mengalukan-alukan (siasatan dilakukan SPRM) dan akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM. Saya harap ia menjadi pengajaran supaya projek-projek kerajaan yang telah diluluskan benar-benar sampai ke sasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Komuniti MADANI Sedili Kota Tinggi di Sekolah Kebangsaan Sedili Besar di sini hari ini.

Semalam, TLDM dilaporkan mengesahkan beberapa anggotanya dipanggil SPRM susulan siasatan kes ‘kartel perolehan’ itu, dengan Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Rahman Ayob dilaporkan berkata beberapa dokumen turut diambil untuk tujuan siasatan.

Tiga lelaki berusia antara 28 hingga 47 tahun yang ditahan susulan kes itu juga yang dipercayai dalang kepada kartel perolehan itu direman tujuh hari bermula semalam bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, empat poliklinik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal dibina tahun ini membabitkan Poliklinik ATM di Kluang, Johor; Seberang Takir, Terengganu, Sungai Petani, Kedah dan Kuantan, Pahang.

Beliau berkata, proses tender akan dibuka bagi membolehkan projek berkenaan dapat dilaksanakan. 

“Tahun ini (Poliklinik) akan dibina di empat lokasi dan sekarang ini tengah buat spesifikasi serta akan buka untuk tender,” katanya.

Sebelum ini, Mohamed Khaled dilaporkan akan memberi fokus dan menumpukan kepada kebajikan anggota dan bekas perajurit dengan menambah baik perkhidmatan kesihatan ATM mulai tahun ini.

Selain pembinaan empat poliklinik ATM, perkhidmatan kesihatan ATM akan turut dimantapkan dengan Sistem IT Kesihatan di setiap Hospital Angkatan Tentera serta Specialist Outreach Clinic dan Program Mental Health.-BH Online