Sorting by

×

Penyasaran semula subsidi yang dilaksana secara berfasa tahun ini, akan disertai dengan penambahbaikan pemberian bantuan sosial kepada rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata perbincangan diadakan dengan beberapa kementerian untuk memperkemas pemberian termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Untuk jangka panjang, KPDN, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan sedang dalam proses untuk memperkemaskan STR, pindahan tunai untuk rakyat kita dengan mengambil kira perancangan untuk kita melaksanakan penyasaran semula subsidi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Program Jualan Rahmah, di sini.

Tambah Armizan, antara penambahbaikan STR yang boleh dilaksanakan adalah meningkatkan jumlah bantuan itu serta menambah liputan pemberiannya kepada kumpulan sasar yang lebih ramai.

“Bukan hanya tertumpu pada apa yang disebut golongan miskin, miskin tegar atau B40 sahaja tetapi cakupan penerima sumbangan STR sebelum terlaksananya penyasaran subsidi itu akan melibatkan golongan sasar yang lebih luas,” katanya.-Berita RTM