KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang mewujudkan koridor ekonomi baharu di Wang Kelian, sebaliknya akan memperkukuh kerangka Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Zon Ekonomi Sempadan (BEZ) yang sedang dimuktamadkan.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah, berkata pendekatan itu bertujuan mengelakkan pertindihan fungsi dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), selain memaksimumkan potensi perdagangan rentas sempadan antara Malaysia dengan Thailand.
Beliau berkata, kerajaan sedang memuktamadkan kajian pembangunan BEZ membabitkan empat negeri, iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.
“Kajian ini bertujuan menilai dan meneroka cadangan pembangunan kawasan sempadan dengan memberi tumpuan kepada pintu-pintu sempadan strategik.
“Selain itu, kerajaan Thailand juga sedang memuktamadkan kajian seumpamanya dengan kerjasama Bank Dunia bagi menilai potensi pembangunan wilayah di kawasan sempadan negara itu dengan Malaysia,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mengenai cadangan kerajaan menjadikan Koridor Wang Kelian-Padang Besar-Bukit Kayu Hitam sebagai model ekonomi sempadan Malaysia-Thailand.
Mohd Shahar berkata, cadangan pembangunan BEZ Malaysia-Thailand akan dibawa ke rundingan dua hala menerusi Jawatankuasa Malaysia-Thailand mengenai Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan (JDS) atau platform lain yang bersesuaian.
Pada masa sama, beliau menyambut baik pandangan Rushdan bahawa Malaysia tidak seharusnya sekadar menjadi laluan transit perdagangan negara jiran.
Sebaliknya, katanya, Malaysia perlu memainkan peranan lebih aktif dalam menguasai pasaran menerusi aktiviti nilai tambah dan pemprosesan produk hiliran.
Antara inisiatif pembangunan yang sedang dilaksanakan di kawasan berkenaan ialah Perlis Inland Port (PIP), Lembah Chuping dan pembangunan Bukit Kayu Hitam.
Beliau berkata, PIP kini mengendalikan kira-kira 100,000 unit bersamaan 20 kaki (TEU) setahun, dengan jumlah pengendaliannya dijangka meningkat kepada 180,000 TEU setahun.
“Pembangunan kawasan sempadan merupakan antara agenda penting kerajaan bagi memperkukuh ekonomi wilayah, meningkatkan keterhubungan rentas sempadan serta memperluas aktiviti perdagangan,” katanya.
Mohd Shahar berkata, pelaksanaan strategi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 memberi tumpuan kepada sektor pertumbuhan dan bernilai tinggi.
Sektor berkenaan termasuk elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, peralihan tenaga, teknologi digital, agromakanan, produk halal serta pelancongan. -BH Online
