Sorting by

×

Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional menyasarkan untuk menyalurkan sejumlah RM84.5 juta pembiayaan kepada 4,400 usahawan informal dan mikro di Sabah sepanjang tahun ini.

Jumlah itu termasuk RM2.5 juta yang disasarkan kepada 500 usahawan yang berniaga di Pasar Tamu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick optimis inisiatif TEKUN Nasional membuka cawangan di daerah Penampang berupaya merealisasikan usaha itu.

“Saya berharap dengan pembukaan cawangan ini melebarkan perkhidmatan TEKUN kepada usahawan-usahawan di daerah ini.

“Sebagai usaha konsisten kita untuk membantu usahawan-usahawan di negara ini untuk terlibat gerakan keusahawanan dan mendapat perkhidmatan terbaik daripada TEKUN melalui program-program pembiayaan di bawah TEKUN,” katanya kepada media selepas merasmikan Pejabat TEKUN bagi cawangan Penampang di sini hari ini.

Sementara itu, usahawan di daerah ini menyifatkan dengan adanya cawangan TEKUN yang terbaharu akan memberi peluang kepada mereka memulakan perniagaan, malah membantu mengembangkan perusahaan ke peringkat lebih tinggi.

“Pembukaan cawangan baharu di Penampang ini memudahkan lagi ramai peniaga. Dari segi perkhidmatan yang ditawarkan oleh TEKUN sangat memudahkan peniaga untuk meminjam. Prosedur juga tidak sulit, apa yang penting perkembangan perniagaan,” kata Marliyanah Abdul Mad yang memiliki butik pakaian.

“Amat bagus sekali sebab TEKUN beri peluang kepada usahawan yang berada di daerah ini untuk memudahkan urusan dengan adanya pejabat TEKUN ini kerana sebelum ini TEKUN hanya berada di Kepayan, Aeropod,” kata Auji Yuthika Mohd Nasir pemilik restoran.

Pada tahun ini, TEKUN juga akan membuka cawangan di kawasan Parlimen Kimanis dalam usaha merancakkan lagi aktiviti ekonomi rakyat.

Terdahulu, Datuk Ewon menyampaikan cek pembiayaan TEKUN kepada sembilan usahawan dengan nilai keseluruhan RM250,000.

Turut disampaikan sumbangan beg sekolah kepada 50 orang murid SK Moyog dan SK Kipovo di sini menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TEKUN Nasional.-Berita RTM