Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JASIN: Kerajaan Melaka mengambil langkah proaktif untuk meletakkan negeri ini sebagai hab halal bertaraf antarabangsa dan kompetitif menerusi pembangunan Melaka Halal Hub 2.0 di Serkam, selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal global.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata pembangunan itu bukan sekadar inisiatif kerajaan negeri, sebaliknya didorong permintaan sebenar pelabur antarabangsa, termasuk dari Jepun dan China yang melihat Melaka sebagai lokasi strategik untuk hab halal serantau.

“Sehubungan itu, keperluan untuk memperluas kawasan Melaka Halal Hub 2.0 tidak boleh ditangguhkan lagi bagi menampung peningkatan minat pelabur dan memperkukuh kapasiti serta daya saing ekosistem halal di negeri ini.

“Projek bernilai RM35 juta dibangunkan di kawasan seluas hampir 19.42 hektar itu turut dijangka menarik pelaburan hingga RM100 juta,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Melaka Halal Hub 2.0, di sini hari ini.

Ab Rauf berkata, projek itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 2027 dan akan dilengkapi 64 unit kilang teres dua tingkat serta 17 lot industri, selain fasiliti moden yang memenuhi keperluan industri halal semasa.

Beliau berkata, bagi fasa itu, kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 10 pelabur strategik serta 45 usahawan tempatan untuk menggerakkan ekosistem halal yang lebih mampan dan berdaya saing.

Pembangunan itu juga berpotensi mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat di negeri itu.

“Halal Hub 2.0 juga akan menjadi platform strategik pembangunan modal insan melalui pelaksanaan program latihan dan pensijilan.

“Ini termasuk pematuhan kepada piawaian Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

“Usaha ini penting bagi memastikan tenaga kerja tempatan bukan sahaja bersedia, malah berdaya saing pada peringkat global,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan Halal Hub 2.0 dijangka menjadi pemangkin utama dalam melonjakkan Melaka sebagai antara hab halal berdaya saing pada peringkat antarabangsa.-BH Online