KUALA KANGSAR: Tiada jemaah haji yang sudah terpilih menunaikan haji tahun ini menolak tawaran hanya disebabkan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata ia menunjukkan keyakinan jemaah terhadap pelbagai jaminan terutamanya bagi aspek keselamatan mereka, selain perkhidmatan yang diberikan Lembaga Tabung Haji (TH).
“Saya sudah pergi bertemu dengan ramai jemaah dalam Kursus Perdana Haji (KPH) dengan negeri Selangor mencatatkan bilangan jemaah haji tertinggi iaitu 8,202, diikuti negeri-negeri lain. Saya dapati jemaah semuanya berada dalam ‘mood’ yang baik.
“Kita tak terima pun ada yang menolak. Alhamdulillah, maknanya selepas mereka menerima visa Nusuk walaupun ada berlakunya krisis tenaga global tetapi semua jemaah haji kita yakin dengan keselamatan perjalanan dan juga perkhidmatan ditawarkan oleh TH,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Ihtifal Madrasah Idrisiah, di Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan, di sini hari ini.
Mengenai perbincangannya bersama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengenai saluran tepat menyampaikan maklumat berkaitan krisis Asia Barat kepada bakal jemaah haji, Zulkfli berkata, perbincangan itu antara lain adalah bagi memperkemaskan lagi pelan komunikasi secara menyeluruh dalam TH.
Beliau berkata, perkara berkaitan jemaah haji juga sudah dibincangkan di peringkat Kabinet, selain di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan melalui ‘task force’ atau jawatankuasa khas di bawah TH.
“Kita mempunyai pasukan serta pelan komunikasi yang menyeluruh dan kita juga ingin membawa satu naratif, di mana naratif haji ini membawa suatu perpaduan dan kebaikan.
“Apa yang kita ingin pesan kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya umat Islam dan khususnya kepada tetamu Allah, sila ikuti dan dapatkan maklumat daripada sumber yang sahih supaya kita dapat mempunyai informasi yang benar, sahih dan tepat,” katanya.-BH Online
