Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyambut baik inisiatif Kerajaan Selangor memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan peruntukan RM131 juta bagi mendepani cabaran semasa, khususnya kesan krisis tenaga global yang memberi tekanan kepada kos pengeluaran sektor agromakanan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata komitmen Kerajaan Selangor mencerminkan pendekatan kebersamaan yang amat diperlukan dalam situasi semasa.

“Pendekatan menyeluruh membabitkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amat diperlukan bagi memastikan bantuan dapat disampaikan secara lebih cekap serta menyeluruh.

“Kementerian menghargai komitmen Kerajaan Selangor memperuntukkan RM25 juta bagi sektor pertanian, yang dijangka memanfaatkan lebih 17,000 pesawah, nelayan, petani, penternak dan pengusaha akuakultur di negeri itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media semalam melaporkan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, menerusi pakej itu, RM130.42 juta diperuntukkan bagi fasa pertama bermula Jun ini, selepas kerajaan negeri membuat semakan belanjawan tahunan dan beberapa langkah penjimatan.

Beliau berkata, pakej itu bertujuan mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan, mengurangkan kos sara hidup rakyat, mengawal inflasi daripada meningkat secara keterlaluan, meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dan bantuan bersasar kepada golongan paling terkesan. 

Mohamad berkata, langkah itu selari dan melengkapi pelbagai inisiatif kerajaan Persekutuan melalui KPKM dalam membantu golongan sasar di seluruh negara.

“Sinergi ini bukan sahaja memperkukuh daya tahan rantaian bekalan makanan negara, malah memastikan kestabilan bekalan makanan daripada peringkat pengeluaran hingga ke pengguna,” katanya.

Mohamad berkata, ia termasuk peningkatan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) sehingga RM300 sehektar, bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi hingga RM400 sebulan kepada petani dan pekebun kecil, serta pelaksanaan subsidi diesel bersasar bagi sektor agromakanan.

Sehubungan itu, beliau berkata, KPKM mengalu-alukan lebih banyak kerajaan negeri tampil mengambil langkah proaktif dalam membantu golongan sasar sektor agromakanan.

“Pendekatan kebersamaan ini amat penting bagi memastikan pemain industri terus berdaya tahan dan keterjaminan makanan negara kekal terpelihara dalam apa jua keadaan,” katanya.

Mohamad turut optimis gabungan usaha antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan memberi impak signifikan dalam melindungi kebajikan pemain industri agromakanan serta memastikan keterjaminan makanan negara terus kekal terpelihara dalam apa jua keadaan. – BERNAMA