Semua pelajar disaran untuk mengikuti program AI (Kecerdasan Buatan) Untuk Rakyat yang boleh diakses dalam bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Mandarin secara percuma dalam talian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penguasaan teknologi AI terutama bagi golongan tersebut perlu diwajibkan dan dilaksanakan secepat mungkin agar rakyat tidak ketinggalan.
Katanya, usaha itu harus bermula daripada pensyarah dan tenaga pengajar, seterusnya kepada pelajar.
“AI adalah teknologi baru (dan) satu bidang yang mesti dikuasai sekarang. Kalau tidak disambut segera (penguasaan AI) dengan kepantasan yang diperlukan, kita akan ketinggalan.
“Jika (AI) diperkenalkan hari ini, kemudian mengambil tempoh tiga bulan untuk pihak universiti dan sekolah memikir (atau) merencanakan, (seterusnya) enam bulan baru diminta pelajar mengikuti (kelas) AI, maka kita ketinggalan satu tahun.
“Kita tidak ada waktu. Saya harap semua pelajar tanpa kecuali terutama (pelajar) universiti mesti ikuti program (AI) selama empat jam,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran AI Untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.
Anwar juga menyeru semua Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah dan Naib Canselor di universiti mengemukakan laporan berhubung pelaksanaan AI kepada kementerian masing-masing dalam tempoh sebulan dari sekarang.
Anggota pentadbiran kerajaan termasuk Jemaah Menteri turut diwajibkan mengikuti dan menyelesaikan program kira-kira empat jam secara dalam talian tersebut.
AI untuk Rakyat yang dilancarkan hari ini boleh dicapai melalui portal www.ai.gov.my sebagai inisiatif kerajaan untuk mendekatkan jurang literasi digital dalam kalangan rakyat Malaysia.
Satu juta rakyat disasar untuk mengikuti kursus kefahaman asas AI itu dalam tempoh sebulan. – Berita RTM