Sorting by

×

Perbezaan kepimpinan di peringkat negeri dan pusat tidak sesekali akan mengorbankan kepentingan rakyat, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Buktinya kata beliau, pelbagai projek pembangunan yang dibiayai peruntukan Kerajaan Persekutuan akan dipantau dan memastikan projek-projek tersebut disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

“Walaupun wujud perbezaan dari segi kerajaan memerintah, saya tidak fikir rasional yang ada pada kepimpinan Kerajaan Persekutuan nak korbankan aspek kepentingan rakyat. Biar data berbicara.

“Ketika bajet, Kerajaan Kedah peruntuk RM100 juta untuk pembangunan, Kerajaan Pusat turunkan RM1.81 bilion (untuk Kedah), saya tak fikir kesimpulannya (wujudnya) mengetepikan, membelakangkan, jauh sekali anak tirikan (Kedah),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Sungai Anak Bukit pada Isnin.

Malah menurut beliau untuk tahun ini sahaja kerajaan persekutuan menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.18 bilion untuk pembangunan di Kedah melibatkan 430 pelbagai projek.

Beliau merangkap Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kedah berkata kerajaan pusat sentiasa komited memastikan dalam menabut bakti kepada rakyat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Sementara itu, mengulas tentang projek RTB aliran baharu untuk mengatasi masalah banjir di bandar raya Alor Setar dan Jitra dijangka siap sepenuhnya pada September depan.

“Projek RTB ini bagi mengatasi masalah limpahan yang berpunca daripada tiga sungai utama iaitu Sungai Baru, Sungai Tanjung Pauh dan Sungai Anak Bukit yang melalui kawasan penduduk, kawasan taman perumahan, kampung dan industri,” katanya. – Berita RTM