Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Terowong kenderaan bawah tanah Tun Razak Exchange (TRX) sepanjang lima kilometer (km) bakal dibuka pada Rabu hadapan.

Rangkaian jalan raya itu akan menghubungkan TRX dengan 12 lebuh raya serta jalan utama seperti Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail, Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX), Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) dan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expessway (SPE).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan bagi menyokong TRX sebagai sebuah pusat kewangan negara.

“Bagi projek nasional sebesar ini di lokasi bandar utama, TRX menjalankan banyak perancangan strategik untuk memudahkan akses bagi pengguna pengangkutan awam dan persendirian. Pembangunan di sini akan memberikan suntikan untuk merancakkan ekonomi setempat.

“Ini sejajar dengan komitmen kerajaan untuk menjadikan TRX sebagai destinasi perniagaan dan sosial antarabangsa. Sebagai contoh usaha sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk projek Penyebaran Trafik Jalan Tun Razak yang baru selesai.

“Ia boleh mengurangkan trafik masuk ke bandar kira-kira 30 peratus,” katanya kepada media selepas meninjau infrastruktur jalan raya di sekitar TRX dan terowong itu hari ini.

Yang turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh serta Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd, Datuk Azmar Talib.

Terowong bawah tanah TRX juga mempunyai akses langsung kepada Jalan Tun Razak serta Lebuhraya SMART membentuk satu sistem pusingan yang akan memudahkan kenderaan untuk keluar dan masuk daripada bangunan ini.

Kenderaan yang menuju ke TRX, tidak akan menambahkan jumlah trafik sedia ada di jalan sekitarnya.

Kenderaan yang masuk ke TRX melalui terowong pusingan ini akan terus ke tempat letak kenderaan, di bangunan yang terletak di dalam TRX.

Sistem rangkaian jalan raya ini turut disokong oleh stesen Transit Aliran Massa (MRT) Tun Razak Exchange yang menjadikan TRX sebagai sebuah pembangunan dengan ketersambungan terbaik dalam Kuala Lumpur.

Stesen pertukaran MRT ini merupakan satu-satunya stesen dalam bandar yang menghubungkan Laluan Kajang dengan Laluan Putrajaya. Pengguna boleh tiba di TRX dalam masa 45 minit dari mana-mana 64 stesen dalam rangkaian MRT.

Isyarat daripada aplikasi Waze dalam terowong TRX juga dijamin tiada gangguan.

Sementara itu, Azmar Talib berkata, pembinaan terowong bawah tanah adalah sebahagian komponen penting daripada pelaburan RM3 bilion yang ditumpukan kepada pembangunan infrastruktur TRX.

“Walaupun TRX dirancang sebagai sebuah pusat kewangan antarabangsa, la turut direka untuk berfungsi sebagai sebuah pembangunan berorientasikan transit (TOD).

“Kami percaya, kami telah berjaya mencipta ekosistem bertaraf dunia dengan menggabungkan piawai kelestarian kami, ruang awam yang menarik, dan ketersambungan yang luar biasa,” katanya.

Pusat beli belah The Exchange TRX dan Taman Bandar TRX juga akan dibuka pada 29 November ini.-BH Online