JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia mempertimbang cadangan bagi menempatkan anggota keselamatan di sekolah sebagai langkah meningkatkan aspek keselamatan di institusi itu.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat sedang dimuktamadkan bagi menambah baik garis panduan sedia ada.
“Pihak KPM sedang memuktamadkan garis panduan keselamatan baharu menerusi pembabitan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan yang dianggotai pakar daripada pelbagai latar belakang.
“Mengenai cadangan untuk meletakkan anggota keselamatan di sekolah, KPM akan teliti cadangan ini,” katanya ketika ditanya keperluan menempatkan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di setiap sekolah sebagai langkah keselamatan.
Fadhlina berkata, kementerian itu juga akan memastikan garis panduan yang akan dimuktamadkan selari dengan cabaran semasa dan kekal relevan dalam melindungi murid serta warga sekolah.
Katanya, usaha ini sudah pun digerakkan menerusi jawatankuasa khas berkenaan dianggotai wakil pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
“Jawatankuasa ini turut diwakili pelbagai wakil bukan kerajaan serta wakil komuniti bagi memastikan bahawa isu-isu yang terkait dengan keselamatan di sekolah diberi perhatian.
“Kita juga mengarahkan guru sekolah dan pengetua untuk mengambil langkah-langkah keselamatan dengan tegas, isu keselamatan ini tidak ada kompromi,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pelajar Tingkatan Satu maut dirempuh sebuah kereta di hadapan surau perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Mas di Kota Bharu, Kelantan pada 12 April lalu.
Pada 5 Mei lalu pula, seorang pelajar perempuan Tahun Dua maut akibat dilanggar van di hadapan pagar utama Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, Batu Pahat.
Terdahulu, Fadhlina hadir Majlis Pelancaran MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) 2026 Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin, di sini hari ini.-BH Online
