Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Presiden Parti Progresif Penduduk (MyPPP) Maglin Dennis D’Cruz, 67, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, tengah malam tadi.

Perkara itu disahkan oleh Naib Presiden Kanan MyPPP Loga Bala Mohan ketika dihubungi Bernama pagi ini.

“Semalam ketika keluar bersama rakannya, dia ada mengadu sakit dada sebelum dibawa ke hospital. Sebelum itu beliau sempat hubungi saya pukul 10.30 malam membincangkan sedikit perkara tentang majlis tertinggi yang akan berlangsung minggu ini dan hal berkaitan parti.

“Kemudian kira-kira 1 pagi saya dapat perkhabaran mengatakan mendiang meninggal dunia tengah malam tadi. Sekarang mendiang masih di hospital untuk urusan pengebumian dan sebagainya,” katanya.

Mendiang Maglin disifatkan sebagai seorang sahabat yang disenangi ramai, Loga yang mengenali mendiang sejak 1997 berkata mendiang juga seorang yang baik hati, prihatin dan suka membantu orang lain.

Maglin dilantik sebagai presiden baharu MyPPP Mac lalu selepas beliau menang tanpa bertanding pada pemilihan parti ketika mesyuarat agung tahunan ke-67.

Mendiang juga pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pada 2010 hingga 2012 selepas dilantik sebagai senator ketika pemerintahan Barisan Nasional. – Bernama