Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berbangga selepas kontinjen Malaysia berjaya melepasi sasaran 35 pingat yang ditetapkan di Sukan Para Asia Hangzhou di China.
Beliau, berkata meskipun beberapa nama besar terlepas pingat emas di temasya itu namun secara keseluruhan atlet para negara sudah melakukan yang terbaik bagi mengharumkan nama Malaysia.
Katanya, pihaknya akan menjalankan ‘bedah siasat’ bagi mengenal pasti perkara yang perlu ditambah baik pada masa akan datang.
“Mereka sudah capai sasaran ditetapkan dengan memperoleh 39 pingat. Namun, terdapat beberapa sukan terlepas pingat dan kita tahu atlet negara kecewa kerana sudah lakukan yang terbaik.
“Kita akan lihat kembali persembahan mereka. Tahun depan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim umumkan tambahan RM2 juta dan ia adalah terbaik untuk atlet para.
“Perkara utama adalah pencarian bakat itu kerana bukanlah senang dan berharap dapat mengatasi stigma ibu bapa bagi dorongan kepada anak untuk sertai sukan.
“Mereka sudah lepasi sasaran yang dibuat bersama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM). Jadinya, Syabas kepada mereka,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) ke-18 di MAEPS Serdang, hari ini.
Kontinjen Malaysia mengakhiri saingan di Hangzhou dengan mengumpul 39 pingat merangkumi tujuh pingat emas, 15 perak dan 17 gangsa, sekali gus melepasi sasaran 35 pingat secara keseluruhan ditetapkan sebelum ini. -Berita Harian