Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Seorang pemimpin UMNO berpendapat bahawa hasrat PAS untuk menjadi kerajaan mungkin sekadar mimpi di siang hari kerana tiada cara lain selain menyertai Kerajaan Perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Puad Zarkashi mendakwa bayangan PAS untuk menjadi kerajaan mungkin disuarakan bagi “mengugut” Bersatu supaya tidak berkelakuan seperti “abang besar” dalam Perikatan Nasional (PN).

Puad mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pada Muktamar Pemuda minggu lalu menunjukkan PN diketuai Muhyiddin Yassin mempunyai konflik dalaman.

Beliau turut mendakwa konflik ini bermula apabila PAS melantik bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat di empat negeri ditadbir PAS atau “state-government 4” (SG4) dan bukan Muhyiddin.

“Dakwaan Adun Kuala Perlis (Abu Bakar Hamzah) daripada Bersatu bahawa wujud pergolakan di Perlis sebenarnya pergolakan dalaman PN yang berkaitan perkongsian kuasa di negeri itu.

“Tuan Ibrahim juga menyindir Bersatu, dengan 18 kerusi Parlimen, PAS boleh duduk dalam kerajaan ini pula dengan 43 kerusi. Tanpa PAS, Bersatu tidak akan menang kerusi Parlimen mereka sekarang,” katanya kepada FMT.

Namun, ADUN Rengit itu juga berkata tiada cara lain selain ‘tebuk atap’, melainkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara ‘enbloc’ meninggalkan Kerajaan Perpaduan termasuk sekurang-kurangnya 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional/Pakatan Harapan sanggup letak jawatan dan bertanding semula.

“Itu langkah bunuh diri,” katanya sambil menyatakan PAS takut kedudukannya sebagai pembangkang menyebabkan ia hilang pengaruh untuk mendapat sokongan bukan Melayu.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong mengulas mengenai kenyataan Tuan Ibrahim yang disifatkan bertujuan untuk mengurangkan kerisauan penyokong dan Ahli Parlimen PN yang terkesan menjadi pembangkang kerana tiada kemudahan seperti ketika di bangku kerajaan. – Media Perpaduan/FMT