Malaysia mengambil tindakan untuk menunggu dan melihat keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai penghantaran tentera pengaman ke Palestin, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ujar beliau bahawa kerajaan tidak akan tergesa-gesa mengambil keputusan kesan daripada keputusan PBB kelak dan perkara tersebut akan diperhalusi oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Mohamad berkata lagi, Malaysia telah menyertai tentera pengaman di bawah United Nations Interim Force di Lebanon (UNIFIL) atas kapasiti sebagai negara anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di bawah PBB.
“Kita ada lebih 800 anggota tentera di Lubnan, kita ada juga beberapa pegawai masih bertugas di Somalia ataupun di negara-negara Afrika tapi tidak seramai apa yang ada di Lubnan.
“Jadi sebagai negara yang menyertai PBB, kita akan tunggu dan lihat apa keputusan PBB dan di situ nanti kita akan menilai sama ada perlu ke Malaysia menyertai tentera pengaman ini ataupun tidak… kita tidak akan secara tergesa gesa menghantar pasukan tentera kita ke sana,” katanya.
Beliau mengulas perkara tersebut selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 536 Veteran ATM, balu serta wakil waris di sini, hari ini.
Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menangkis tohmahan yang konon Malaysia tidak ingin menghantar pasukan tentera untuk membantu Palestin.
Anwar juga mengulas bahawa keputusan menghantar pasukan tentera ini bukan perkara remeh dan perlu mendapatkan persetujuan daripada negara-negara jiran Palestin.
Terdahulu, Mohamad dalam ucapannya berkata secara dasarnya akan berlaku pertukaran pasukan MALBATT 850-10 yang menyertai misi United Nation Interim Force In Lebanon (UNIFIL) bermula 2 Oktober lepas.
“Kita mempunyai tentera misi PBB di Lubnan di bawah MALBATT. Secara dasarnya dua hari lepas, ada pertukaran anggota bermula 2 Oktober.
“Saya akan memberitahu Kabinet bahawa akan meneruskan pertukaran anggota ini di Lubnan. Jika ada perkara yang berlaku selepas ini, kita akan buat keputusan berlainan,” katanya. – Media Perpaduan