Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menurut Kementerian Kesihatan di Gaza, sejak serangan Israel pada 7 Oktober lalu, jumlah rakyat Palestin yang terkorban akibat serangan udara di Semenanjung Gaza kini meningkat kepada 7,028 orang pada Khamis lalu.

Jurucakap Kementerian Ashraf al-Qedra ketika sidang media menyatakan angka kematian akibat pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza kini cecah 7,028 orang, angka ini melibatkan 2,913 kanak-kanak, 1,709 wanita dan 397 warga emas.

18,484 rakyat Palestin lain dilaporkan cedera oleh Agensi Anadolu.

Beliau juga mengulas mengenai dalam tempoh 24 jam lepas, tentera penceroboh Israel yang telah melakukan 43 pembunuhan secara beramai-ramai dan telah mengorbankan 481 nyawa dan sebahagian mangsa terdiri daripada mereka yang berpindah ke selatan Semenanjung Gaza yang Israel dakwa selamat.

“Tentera penceroboh Israel dengan sengaja melakukan 731 pembunuhan beramai-ramai. Kami menerima 1,650 laporan orang hilang, termasuk 940 kanak-kanak,” katanya.

Sebanyak 57 kemudahan kesihatan juga menjadi sasaran mengakibatkan 12 hospital dan 32 pusat penjagaan tidak dapat beroperasi di samping telah mengorbankan 101 pegawai perubatan.

Beliau juga berkata bahawa Israel cuba melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan Palestin dengan menyekat penghantaran bekalan perubatan penting dan bahan api.

Al-Qedra juga mengatakan bahawa hospital juga bertindak sebagai tempat perlindungan untuk puluhan ribu rakyat Palestin, akan tetapi dalam keadaan serba kekurangan, ini boleh menjadi penyumbang kepada penularan wabak dan penyakit berjangkit.

Hanya sebahagian kecil bantuan kemanusiaan yang dibenarkan masuk ke gaza sedangkan lebih 2 juta penduduk Gaza kini kehabisan keperluan asas seperti makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api. – Media Perpaduan