Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Konflik Palestin-Israel antara yang dibincangkan Malaysia dengan Liga Muslim Sedunia di sini, malam tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membincangkan perkara itu dengan Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia, Sheikh Dr Muhammad Abdulkarim Al-Issa semasa mengunjungi pejabat liga di sini.

Anwar diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir.

Perbincangan tertutup mereka antaranya melibatkan isu serangan terhadap Palestin dan kesepakatan yang harus diambil pimpinan negara-negara Islam dan rangkaian ulama sedunia berhubung konflik itu.

Turut dibincangkan ialah isu dakwah dan pendidikan Islam bersempena Muzakarah Ulama’ Antarabangsa yang akan dianjurkan di Malaysia kelak.

Anwar berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang berakhir semalam.

Dalam ucapan pada sidang kemuncak itu semalam, Anwar menggesa masyarakat antarabangsa agar menoktahkan layanan kejam serta sikap hipokrasi secara terang-terangan terhadap rakyat Palestin.

Beliau berkata, masyarakat antarabangsa tidak lagi boleh menutup mata terhadap kekejaman itu dan mesti mengambil tindakan untuk menangani punca konflik Palestin-Israel.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mencadangkan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif ASEAN-GCC) (CEPA) untuk memaksimumkan potensi ekonomi kedua-dua rantau itu.

Menurutnya, hubungan ASEAN-GCC kini semakin berkembang kukuh sejak kali pertama terjalin secara rasmi pada 1990. -Bernama