Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Lantikan tetap bagi menempatkan baki 2,083 pegawai perubatan kontrak daripada 4,263 kekosongan jawatan untuk kuota tahun ini akan selesai selewat-lewatnya Disember ini, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah melaksanakan sebahagian daripada penempatan lantikan tetap itu sehingga hujung Julai lalu dan kini masih berbaki 2,083 pegawai perubatan kontrak yang sedang dalam proses menentukan penempatan mereka.

“Kita sudah laksana sebahagian daripada penempatan itu sehingga akhir Julai lalu dan Insya-Allah dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), kita akan uruskan bagi pelantikan tetap untuk 2,083 lagi pegawai perubatan kontrak kepada tetap.

“Kita jangka untuk mereka melaporkan diri ke fasiliti KKM pada akhir Disember ini, ia dibuat secara berperingkat,” katanya selepas menyempurnakan majlis Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) 2023 di ILKKM Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan, di sini hari ini.

Seramai 8,643 graduan terdiri pelbagai program menamatkan pengajian masing-masing di ILKKM dari seluruh negara.

Dr Zaliha berkata, untuk tahun ini kementerian itu melalui SPA menerima 1.4 juta permohonan untuk menyertai

program latihan di bawah ILKKM, yang mana dalam tempoh lima tahun sejak 2018 hingga Jun lalu, seramai 14,619 graduan ILKKM diserap ke perkhidmatan.

“Selaras strategi reformasi kesihatan seperti digariskan Kertas Putih Kesihatan, antara fokus pelaburan terpenting KKM adalah bagi memastikan sistem penyampaian kesihatan cemerlang menerusi pemantapan tenaga kerja kesihatan dengan KKM memperuntukkan RM78 juta bagi tujuan latihan dan pembangunan kompetensi kepada anggota kesihatan, termasuk menaik taraf institut latihan di bawah KKM di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata, kementerian kini sedang berusaha mempertingkatkan promosi latihan bagi 10 bidang Program Lanjutan dan bidang-bidang kepakaran yang kritikal.

“Antara 10 bidang kepakaran yang sangat diperlukan adalah Kebidanan; Kesihatan Awam; Perawatan Neonate; Perawatan Peadiatrik; Perawatan Rapi; Perawatan Kardiovaskular; Perawatan Ortopedik; Perawatan Mental; Perawatan Perioperatif dan Gerontologi; dan Kesihatan Primer.

“Usaha bersepadu ini akan memastikan tenaga kerja sektor kesihatan yang mantap sesuai dengan tujuan (fit for purpose) dan berdaya tahan untuk masa hadapan,” katanya.-Berita Harian