Pemberian diskaun bayaran balik bagi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta penetapan yuran pendaftaran masuk ke universiti awam tidak melebihi RM1,500 nyata melegakan ribuan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.
Tawaran diskaun selama lima bulan bermula 14 Oktober hingga 31 Mac 2024 itu membabitkan sehingga 15 peratus potongan penyelesaian penuh pinjaman.
Penuntut semester empat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sastera Universiti Sains Malaysia (USM), Aleena Ardina Abdullah, 21, berkata, inisiatif itu amat baik untuk menggalakkan graduan membayar semula pinjaman selain membantu meringankan bebanan tanggungan bagi mereka yang kurang berkemampuan.
Bagaimanapun, Aleena Ardina mengakui jumlah potongan kali ini dilihat lebih rendah berbanding tahun lalu.
“Sebelum ini, peminjam PTPTN dapat 20 peratus potongan untuk penyelesaian penuh pinjaman, manakala 15 peratus diskaun diberikan untuk penyelesaian 50 peratus baki hutang dan 15 peratus lagi untuk bayaran secara potongan gaji.
“Apapun, inisiatif tersebut masih dapat menggalakkan peminjam untuk selesaikan hutang pinjaman mereka,” katanya di sini semalam.
Bagi penuntut semester enam Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd. Shahrul Mohd. Faroq, 23, pula, dia melahirkan rasa syukur dengan pengumuman Perdana Menteri menerusi Belanjawan 2024.
“Dua tiga minggu lalu kecoh apabila ada berita mengenai diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN tidak akan diteruskan lagi.
“Jujur, saya sendiri pun rasa sedih jika benar ia dihapuskan. Memandangkan ekonomi negara masih bergelut dengan kos sara hidup tinggi, golongan pelajar dan graduan seperti kami semestinya antara yang terkesan.
“Sudah pasti, pemberian diskaun ini menjadi satu harapan untuk membantu meringankan bebanan kewangan pelajar. Rasanya, rata-rata peminjam PTPTN adalah mereka yang berlatarkan keluarga B40 atau miskin sebab mereka yang berduit tidak akan buat pinjaman belajar.
“Terima kasih kepada pihak kerajaan kerana terus prihatin dengan kebajikan kami pelajar IPT ini,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai berita baik yang kedua berkaitan yuran pendaftaran memasuki universiti awam dihadkan tidak melebihi RM1,500 bermula Januari 2024, penuntut semester dua UiTM, Nur Aliya Maisarah Kamal Adli, 22, turut berterima kasih kepada kerajaan kerana terus menyalurkan bantuan untuk kelancaran pendidikan anak muda.
Jelasnya, dengan kaedah ini, kerajaan sekurang-kurangnya dapat mengawal tindakan segelintir pengurusan universiti yang didakwa mengenakan yuran pendaftaran tinggi kepada pelajar sehingga ada calon terpaksa melupakan hasrat melanjutkan pelajaran ke IPT gara-gara tidak berkemampuan dari segi kewangan.
“Alhamdulillah, dengan langkah ketetapan had yuran sebegini, dapat kita tangani isu sedemikian yang mana saya lihat seolah-olah mahu menyekat hak seorang pelajar untuk menuntut ilmu,” katanya.
Belanjawan 2024 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim klmarin menyaksikan sektor pendidikan terus diutamakan Kerajaan Perpaduan dengan
peruntukan terhadap Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dinaikkan kepada RM16.3 bilion berbanding RM15.3 bilion pada tahun ini.
Bagi Kementerian Pendidikan (KPM) pula, mereka menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM58.7 bilion berbanding RM55.2 bilion tahun 2023. Sumber: Kosmo