Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia tidak gentar terhadap ancaman bom yang dikaitkan dengan serangan Israel terhadap Palestin, sebaliknya terus menyokong untuk rakyat negara itu mempertahankan tanah air mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Malaysia berpendirian untuk terus menyokong dan bersolidariti terhadap rakyat Palestin, di samping memastikan bantuan disalurkan ke negara itu.

“Pihak polis menyatakan itu (ancaman) adalah ancaman yang sengaja dibuat, cuma kita perlu berjaga-jaga dan tidak perlu khuatir pun.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Menteri Luar (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir) juga menyatakan kita tak perlu gentar dengan apa saja ancaman, sebaliknya kita menyumbang bantuan RM1 juta kepada negara berkenaan.

“Malah, Perdana Menteri juga sudah umumkan bantuan RM10 juta (kepada Palestin), selain menyelaraskan kutipan RM100 juta daripada syarikat berkepentingan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta orang ramai,” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian selepas merasmikan Pejabat UMNO Bahagian Tangga Batu, di Cheng di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin.

Ahmad Zahid mengulas mengenai ancaman bom daripada seorang lelaki dipercayai warga asing, petang semalam di sebuah pusat beli-belah dan hotel di Johor Bahru.

Polis Johor dilaporkan berkata, pihak pengurusan menerima panggilan itu pada jam 5.38 petang dan mengaku dari luar negara, selain mendakwa ada meletakkan bom di beberapa kawasan sekitar pusat beli-belah dan hotel berkenaan.

Difahamkan, pemanggil juga ada menyatakan ‘berhenti sokong Palestin’. Sumber: Berita Harian