PELABUHAN KLANG: Kerajaan memberi jaminan bahawa tiada isu berkaitan kesesuaian penggunaan biodiesel, khususnya B20, berikutan spesifikasi enjin kenderaan di negara ini telah menyokong bahan api tersebut sejak 2020.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata dengan piawaian yang ditetapkan, penggunaan biodiesel tidak sepatutnya menyebabkan kerosakan kepada kenderaan.
“Sebenarnya ada beberapa kawasan dalam negara telah menggunakan B20 iaitu sebagai contoh di Pulau Langkawi, Kedah; Labuan dan Sarawak kecuali di kawasan Bintulu. Ini bermaksud dalam tempoh yang sedang berlaku ini aduan ataupun kebimbangan itu sebenarnya belum sampai ke tahap ada kes yang kita boleh jadikan satu rujukan.
“Kerajaan telah mandatkan pada 2020 mengenai penggunaan enjin atau kenderaan pada tahap B20 bermaksud tempoh itu telah diberikan secukupnya kepada pihak industri termasuk kenderaan untuk membuat persiapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat kilang oleokimia KL-Kepong Oleomas Sdn Bhd bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Noraini Ahmad, di sini hari ini.
Sebelum ini, Akmal Nasrullah mengumumkan kerajaan bersetuju meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 tanpa melibatkan sebarang kos tambahan susulan krisis di Asia Barat.
Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan ketersediaan bekalan diesel negara bagi tempoh lebih panjang, selain mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan api fosil dan pasaran luar.
Pada masa sama, beliau menegaskan penstrukturan semula ekonomi melalui peralihan kepada tenaga boleh baharu perlu dipercepatkan.
Sementara itu, Noraini berkata menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sebanyak RM42 juta diperuntukkan bagi menaik taraf empat depoh pengadunan minyak sawit.
Langkah itu, katanya, akan memperkukuh usaha kerajaan dalam memastikan kemampanan sumber tenaga negara.-BH Online
