KEGIATAN “ah long” atau ceti haram masih berleluasa ketika ini kerana terdapat permintaan tinggi daripada masyarakat untuk mendapatkan pinjaman wang.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, berkata, ia berpunca kerana pinjaman menerusi institusi kewangan tidak berlesen itu mudah diperolehi.
Menurutnya, masyarakat mudah ‘tertarik’ dengan tawaran yang disediakan sindiket itu.
“Pinjaman daripada sindiket itu juga lebih mudah diperolehi daripada pinjaman ditawarkan institusi perbankan mahupun institusi kewangan berlesen.
“Sebanyak 734 operasi telah dijalankan sepanjang tempoh Januari hingga Ogos 2023 di seluruh negara.
“Seramai 898 orang telah ditangkap dan sebanyak 146 kes telah dibuat pertuduhan, selain daripada itu.
“Kita bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan bertindak menurunkan iklan pinjaman wang, meminta SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) memadam iklan pinjaman wang tidak berlesen di media sosial dan mengesan ah long melalui pelbagai sumber,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Shamsul menjelaskan, pihak Polis juga menjalankan kerjasama dua hala dengan syarikat telekomunikasi, SKMM untuk membantu mengesan lokasi suspek.
Beliau menjawab soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) yang bertanyakan mengenai usaha kerajaan untuk mengatasi kes keganasan membabitkan ah long.- Media Perpaduan