Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Oleh Hj Hafiz : Media Perpaduan

PARLIMEN, 4 November – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan di Parlimen bagi memperkukuh penyelarasan pembangunan industri sukan negara secara lebih menyeluruh dan bersepadu.

Beliau berkata, pembangunan sukan negara tidak boleh dilaksanakan secara berasingan mengikut kementerian atau agensi semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan whole-of-nation yang menggabungkan kekuatan kerajaan, persatuan sukan, institusi, sektor swasta serta semua pihak berkepentingan.

Menurutnya, kerjasama strategik merentas kementerian dan agensi amat penting bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan sukan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, berkesan dan memberikan impak jangka panjang kepada negara.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap program pembangunan sukan yang dilaksanakan selepas ini perlu mempunyai petunjuk keberhasilan yang jelas bagi memastikan pencapaian dan keberkesanannya dapat diukur.

Katanya, keberhasilan program berkenaan perlu dinilai bukan sahaja dari aspek prestasi atlet dan pembangunan bakat baharu, malah turut merangkumi peningkatan tahap kesihatan rakyat, pembangunan komuniti serta sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa syukur atas pelbagai pencapaian membanggakan yang telah diraih sukan negara sepanjang tahun ini.

Jelasnya, momentum kecemerlangan tersebut perlu terus diperkukuh menerusi perancangan dan pelaksanaan yang lebih strategik serta sistematik.

“Apabila sukan negara hebat, nama Malaysia juga akan terus harum di pentas dunia,” katanya.

Beliau berharap usaha bersepadu semua pihak akan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem sukan negara yang lebih kompetitif, mampan dan mampu melahirkan atlet bertaraf dunia.