KUALA LUMPUR: Pelaburan Google sebanyak AS$15 bilion (RM61.1 bilion) di Malaysia bukan sekadar memperkukuh infrastruktur digital negara, malah dijangka menyokong lebih 37,000 peluang pekerjaan tempatan setahun sepanjang fasa pembinaan kampus pusat data baharu, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada rakyat merebut peluang ekonomi berkemahiran tinggi.
Lebih penting, apabila kemudahan berkenaan mula beroperasi, pelaburan itu diunjurkan menyokong lebih 9,000 pekerjaan tempatan secara berterusan setiap tahun, dengan purata gaji 45 peratus lebih tinggi berbanding median nasional, merangkumi jawatan khusus seperti juruteknik pusat data, jurutera mekanikal dan elektrikal serta pengurus operasi logistik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pelaburan langsung asing (FDI) dalam skala besar amat penting kepada pembangunan ekonomi negara kerana aliran masuk modal bukan sahaja menyediakan sumber bagi pengembangan ekonomi makro, malah membangunkan aset fizikal berteknologi tinggi dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam revolusi kecerdasan buatan (AI) global.
“Pelaburan langsung asing amat penting kepada pembangunan ekonomi Malaysia. Aliran masuk modal dalam skala besar menyediakan sumber penting untuk pengembangan ekonomi makro, membangunkan aset fizikal berteknologi tinggi serta mengukuhkan kedudukan negara di barisan hadapan revolusi kecerdasan buatan global,” katanya berucap pada acara Mantap Malaysia Bersama AI, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat; Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; serta Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Anwar berkata, kerajaan mahu memastikan setiap pelaburan asing yang memasuki negara selari dengan aspirasi pembangunan nasional, khususnya dalam membina industri tempatan yang berdaya tahan dan berdaya saing global, membangunkan modal insan serta memastikan pengurusan tenaga dan sumber asli dilaksanakan secara bertanggungjawab.
“Dalam Ekonomi MADANI, kita tidak mengukur kejayaan berdasarkan tajuk utama berita semata-mata, sebaliknya melalui kemampuan bakat muda terbaik kita memperoleh pendapatan yang sewajarnya dan berdiri dengan penuh keyakinan di pentas global,” katanya.
Sementara itu, pelaburan Google yang dirancang bagi tempoh 2027 hingga 2028 itu merangkumi pembangunan infrastruktur digital dan peluasan kampus pusat data, termasuk kampus pertama Google di Elmina Business Park, Selangor, yang kini beroperasi serta pembangunan kampus baharu yang dirancang di Selangor dan Negeri Sembilan.
Dalam fasa pembinaan kampus baharu, Google mengunjurkan pelaburan itu menyumbang purata AS$1.1 bilion (RM4.48 bilion) setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, selain menjana purata pendapatan buruh tahunan sebanyak AS$378 juta (RM1.54 bilion). Daripada lebih 37,000 pekerjaan tempatan yang disokong setiap tahun, kira-kira 6,000 dianggarkan dalam sektor pembinaan.
Impak ekonomi itu turut diperluas menerusi kerjasama Google dengan lebih 80 entiti tempatan dalam rantaian bekalannya, meliputi bidang pembinaan, kejuruteraan awam, rangkaian, sistem kuasa, penyejukan, logistik, perundangan, katering dan pengurusan sisa.
Anwar berkata, kerjasama berkenaan membuktikan keupayaan syarikat tempatan memenuhi keperluan pelaburan bertaraf antarabangsa, sekali gus memberi ruang kepada firma tempatan meningkatkan kepakaran dan daya saing mereka.
“Apabila modal asing bertemu keupayaan global, syarikat tempatan bukan sekadar mengambil bahagian, malah meningkatkan keupayaan mereka dan membuat persediaan untuk bersaing di peringkat global,” katanya. -BH Online

