Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pelabur China menyatakan hasrat awal untuk melabur AS$15 bilion (kira-kira RM61 bilion) di Malaysia membabitkan enam sektor berpotensi tinggi, termasuk elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta industri halal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata indikasi awal itu disampaikan dalam perbincangan bersama 58 ahli perniagaan China yang berada di negara ini bagi menghadiri Mesyuarat Kerjasama Malaysia-China dalam Pelaburan, Perdagangan dan Pemerkasaan Ekonomi.

Beliau berkata, kehadiran delegasi berkenaan mencerminkan keyakinan pelabur China terhadap potensi Malaysia sebagai destinasi pelaburan, khususnya dalam sektor berteknologi tinggi dan bernilai tambah.

“Sebelum kami mengadakan pertemuan, mereka sudah memberikan indikasi awal kepada saya mengenai hasrat untuk melabur AS$15 bilion.

“Kita sekarang menumpukan pelaburan bernilai tinggi, bermakna berteknologi tinggi, tidak lagi berintensif buruh dan tidak lagi berasaskan penggunaan tenaga kerja tanpa kemahiran,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, enam sektor yang dikenal pasti ialah E&E dan semikonduktor; bahan industri khusus dan kejuruteraan berketepatan; ekonomi digital dan infrastruktur teknologi; pemprosesan makanan dan produk halal; teknologi kesihatan dan farmaseutikal; serta pelancongan.

Dalam sektor E&E dan semikonduktor, pelabur China melihat Malaysia mempunyai kedudukan kukuh dalam rantaian bekalan antarabangsa, selain memiliki tenaga kerja berkemahiran yang dilahirkan menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Bagi sektor bahan industri khusus dan kejuruteraan berketepatan, tumpuan diberikan kepada pengeluaran kerajang tembaga, teknologi robotik, automasi serta aktiviti pembuatan yang memerlukan tahap ketepatan tinggi.

Delegasi berkenaan turut berminat meneroka peluang dalam ekonomi digital, termasuk pembangunan pusat data, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI).

Mengenai pemprosesan makanan dan produk halal, Ahmad Zahid berkata beberapa syarikat China, termasuk pengeluar utama produk tenusu, berminat berkongsi teknologi serta memperluas pelaburan dalam aktiviti pemprosesan makanan di Malaysia.

Syarikat dalam sektor teknologi kesihatan dan farmaseutikal pula berhasrat menjadikan Malaysia sebagai pangkalan pengeluaran produk kesihatan halal untuk dieksport, khususnya ke pasaran Timur Tengah.

“Bagi sektor halal, pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa menjadi antara faktor utama yang menarik minat syarikat terbabit untuk menjalankan operasi pengeluaran di negara ini.

“Dalam sektor pelancongan, pelabur China turut berminat membangunkan resort dan hotel, selain menjalin kerjasama bagi memperkukuh industri pelancongan negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, sesi padanan perniagaan akan diatur antara delegasi China dengan bakal rakan pelaburan tempatan, termasuk dewan perniagaan, persatuan perniagaan dan pemain industri berkaitan.

Pertemuan itu turut disertai pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan yang memberikan penerangan mengenai iklim pelaburan negara serta insentif kepada pelabur asing. -BH Online