Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

RAUB: Malaysia menyasarkan untuk berada di tangga kesembilan negara paling aman dalam Indeks Keamanan Global (GPI), berbanding tempat ke-12 daripada 163 negara ketika ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sasaran itu dapat direalisasikan menerusi pengukuhan integriti serta kecekapan pasukan keselamatan secara berterusan.

Katanya, dalam usaha mengekalkan kecemerlangan itu, kerajaan turut mewujudkan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) bagi membantu meningkatkan lagi mutu perkhidmatan polis.

“IPCC adalah mekanisme penting bagi memastikan sebarang kelemahan dan salah laku dalam pasukan dapat diperbetulkan.

“Walaupun pasukan polis menunjukkan prestasi cemerlang, kerajaan berpandangan masih ada ruang penambahbaikan,” katanya pada Program Santuni MADANI IPCC di Kampung Kela, di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, kewujudan IPCC bukan untuk menafikan kejayaan polis, sebaliknya sebagai badan pemantau integriti dan akauntabiliti bagi memelihara keyakinan masyarakat.

Sementara itu, beliau berkata kedudukan Malaysia di tangga ke-12 paling aman di dunia membuktikan tahap keselamatan negara amat baik hasil kecekapan pasukan polis menjaga ketenteraman awam.

“Keadaan itu membolehkan rakyat menjalani kehidupan seharian dengan selamat dan tenteram,” katanya.

Mengulas penganjuran program berkenaan, Saifuddin Nasution berkata kementerian akan terus mendampingi masyarakat tempatan, khususnya komuniti Orang Asli menerusi pelbagai perkhidmatan termasuk pemeriksaan kesihatan, urusan dokumen pengenalan diri serta pameran pencegahan dadah.

Pada majlis sama, sumbangan barangan keperluan dan peralatan bernilai RM20,000 diserahkan kepada lima surau di sekitar Kampung Kela, selain bantuan khusus kepada lapan keluarga penerima dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) kekal.

Saifuddin turut memberi sumbangan peribadi RM10,000 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam untuk membantu penduduk yang memerlukan bantuan fizikal atau kewangan segera tanpa proses permohonan yang rumit.-BH Online