Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pelanjutan itu memberikan peluang kepada peniaga untuk meraih pendapatan sepanjang musim perayaan itu.
Selain itu, ia juga memberi ruang kepada pengunjung dan pembeli untuk hadir membeli-belah khususnya barangan keperluan bersempena dengan perayaan Deepavali.
“Pelbagai barangan dijual di bazar ini dan kita telah menurunkan kos lesen kepada RM400 sahaja. DBKL turut menyediakan gazebo bersaiz besar bagi memastikan peniaga dan pengunjung lebih selesa.
“Ini merupakan kali pertama DBKL memberikan sokongan seperti ini bagi mewujudkan sebuah bazar mega,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bazar Deepavali 2026 di Pusat Sukan dan Rekreasi DBKL, Brickfields, di sini, hari ini.
Bazar berkenaan berlangsung dari 9 Oktober hingga 7 November, dengan 131 petak perniagaan disediakan di Brickfields dan 20 petak tambahan di Jalan Bunus 6, Masjid India.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga membelanjakan RM1.8 juta bagi menyokong penganjuran Bazar Deepavali di ibu negara tahun ini. -Berita RTM
