KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji semula keperluan kehadiran Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini susulan kegagalannya memainkan peranan dalam menempatkan semula pelarian ke negara ketiga.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata UNHCR dilihat tidak lagi memainkan peranan seperti yang pernah dilaksanakan ketika menangani isu pelarian Vietnam antara tahun 1978 hingga 1990.
Katanya, keadaan itu membimbangkan apabila jumlah pelarian yang berjaya ditempatkan semula ke negara ketiga hanya sekitar 5,000 orang dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.
“Majoriti pelarian Rohingya adalah pemegang kad UNHCR, kita minta UNHCR menghantar mereka ke negara ketiga, tetapi UNHCR gagal.
“Oleh sebab itu, kita mengkaji semula kehadiran UNHCR di negara ini.
“Sepatutnya UNHCR memainkan peranan mereka seperti yang mereka buat semasa pelarian Vietnam pada tahun 1970-an dahulu, tetapi sekarang tidak ada.
“Kadar kejayaan mereka hanya 5,000 lebih selama dua tiga tahun ini, itupun bukan pelarian Rohingya tetapi etnik lain daripada Myanmar,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohamad berkata, keadaan semakin mencabar apabila beberapa negara termasuk Australia, Jerman dan Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini menerima pelarian, kini mengetatkan dasar kemasukan golongan berkenaan, termasuk melaksanakan dasar antimigran.
Sehubungan itu, katanya, negara perlu mengadakan rundingan dan libat urus dengan kerajaan Myanmar bagi mencari penyelesaian terhadap isu pelarian yang berlarutan, sekali gus mengelakkan Malaysia terus menanggung beban berkenaan.
“Ini masalahnya, kita akan terbeban. Kita perlu adakan libat urus bersama dengan kerajaan Myanmar.
“Kalau tidak, mahu buat apa… mereka lagi suka kalau kita tidak bertemu mereka.
“Mereka lagi suka jika dunia memulaukan mereka, asalkan negara-negara sahabat bersama-sama dan memberikan perlindungan. Ini yang sedang berlaku,” katanya. -BH Online
