Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia sudah mengenal pasti tiga negara alternatif yang akan membekalkan sistem peluru berpandu antikapal (NSM) yang dibatalkan Norway kepada Malaysia. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata tiga negara sudah dikenal pasti itu adalah Perancis, Itali dan Turkiye.

“Kementerian akan kemukakan kepada kerajaan yang mana satu hendak diganti bulan hadapan.

“Pembekalan akan ambil masa tiga hingga empat tahun,” katanya ketika penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Dasar bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata Malaysia akan menerima kumpulan pertama pesawat pejuang tempur ringan (LCA) FA-50M Block 20 buatan Korea Selatan, Jumaat ini.

Katanya, penerimaan pesawat berkenaan sebahagian usaha memperkukuh keupayaan tempur udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sekali gus meningkatkan keupayaan pertahanan ruang udara negara.

“Pesawat berkenaan akan ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang dan sebahagiannya di Pangkalan Udara Labuan, Sabah.

“Penerimaan pesawat ini untuk memperkukuh keupayaan tempur udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Pesawat berkenaan dilengkapi teknologi radar Jujukan Imbasan Elektronik Aktif (AESA) serta Sniper Advanced Targeting Pod atau pod pengesan sasaran elektro-optik berketepatan tinggi yang memberikan kelebihan taktikal dan keupayaan serangan tepat.

Malaysia memeterai kontrak perolehan 18 pesawat bernilai RM4 bilion dengan Korea Aerospace Industries (KAI) pada Mei 2023.

Baki pesawat lain akan dihantar secara berperingkat dan dijangka selesai sepenuhnya antara Mac hingga Jun 2028. -BH Online