Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan turut merancang membangunkan lima kolej kediaman baharu menerusi kaedah sama, yang dijangka menyediakan kapasiti penginapan sehingga 21,000 mahasiswa.
Beliau berkata, usaha itu merupakan langkah jangka panjang Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menangani kekurangan penempatan penginapan pelajar, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40).
“Selaras dengan usaha itu, kerajaan memperuntukkan RM1.1 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2025 untuk kerja-kerja penggantian, penaiktarafan dan pemulihan infrastruktur serta peralatan usang di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
“Dalam tempoh sama, KPT turut memperuntukkan hampir RM225 juta bagi menaik taraf dan membaik pulih asrama sedia ada menerusi peruntukan pembangunan.”
Beliau berkata demikian bagi menjawab Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, yang ingin tahu tentang usaha berterusan menangani isu kekurangan penempatan pelajar kolej kediaman IPTA.
Menurut beliau, kerajaan turut memperuntukkan RM800 juta menerusi pembentangan Belanjawan 2027 bagi kerja penggantian, penaiktarafan dan pemulihan infrastruktur serta peralatan usang di IPTA, termasuk asrama dan kolej kediaman.
“Melalui pembentangan bajet oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, KPT diperuntukkan sebanyak RM800 juta bagi tujuan penggantian penaiktarafan dan pemulihan infrastruktur serta peralatan usang di IPTA termasuk di asrama dan kolej kediaman.
“Hampir 225 juta turut diperuntukkan bagi kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih asrama sedia ada serta menyiapkan 15 projek pembinaan kolej kediaman melalui kaedah kerjasama awam swasta dengan kapasiti keseluruhan melibatkan 45,000 pelajar,” tambahnya.
Dalam pada itu, KPT turut menjalinkan kerjasama dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan bagi menambah kapasiti penginapan mahasiswa menerusi projek Residensi Mahasiswa Universiti Malaya.
Terdahulu, projek perintis yang dilancarkan Perdana Menteri kira-kira dua minggu lalu itu dijangka siap pada 2031 dan bakal memberi manfaat kepada 10,000 pelajar universiti berkenaan. -Berita RTM
