Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SINGAPURA: Malaysia akan menyuarakan kepentingan kerjasama serantau khususnya melalui pembangunan Grid Tenaga ASEAN menerusi penyertaan dalam Singapore International Energy Week (SIEW) 2026, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata hubungan tenaga yang lebih kukuh antara negara ASEAN dapat membantu memanfaatkan sumber tenaga dengan lebih cekap, di samping meningkatkan keselamatan dan daya tahan bekalan elektrik di rantau ini.

“Saya melihat SIEW sebagai satu platform yang amat bermakna untuk Malaysia berkongsi pandangan, bertukar pengalaman dan mengukuhkan hubungan dengan rakan-rakan dari Singapura, negara ASEAN serta komuniti tenaga antarabangsa.

“Dalam menghadapi landskap tenaga global yang semakin mencabar, kita perlu memastikan bekalan tenaga negara kekal selamat, stabil dan mampu milik tanpa mengabaikan tanggungjawab untuk memelihara alam sekitar dan mempercepat peralihan kepada tenaga yang lebih bersih,” katanya menerusi hantaran Facebook semalam.

Fadillah tiba di Singapura pada 6.16 petang semalam bagi mengetuai delegasi Malaysia dan menyampaikan ucaptama pada persidangan SIEW 2026 yang berlangsung di Marina Bay Sands, di sini hari ini.

Ketibaan beliau disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datin Paduka Anizan Siti Hajjar Adnin dan Ketua Eksekutif Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) Singapura Puah Kok Keong.

Sepanjang berada di Singapura, Fadillah dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Singapura dan India, serta wakil organisasi dan syarikat tenaga antarabangsa termasuk Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Japan Bank for International Cooperation (JBIC), Siemens Energy, Acwa Power, Electricite de France (EDF) dan Mitsubishi Heavy Industries.

Beliau berkata pertemuan itu diharap membuka lebih banyak ruang untuk berkongsi idea, mempelajari amalan terbaik dan meneroka peluang kerjasama yang bermanfaat kepada Malaysia, khususnya dalam pembangunan infrastruktur tenaga dan penggunaan teknologi baharu.

“Pada masa yang sama, kita mahu terus meningkatkan keyakinan pelabur dan pembiaya antarabangsa terhadap potensi sektor tenaga Malaysia.

“Pelaburan yang bersesuaian bukan sahaja membantu membangunkan industri tenaga negara, malah berpotensi mewujudkan peluang ekonomi dan menyokong pertumbuhan negara dalam jangka panjang,” katanya.

Fadillah berharap penyertaan Malaysia dalam SIEW 2026 membawa hasil yang positif, mempererat persahabatan dengan rakan serantau dan membuka lebih banyak peluang kerjasama untuk negara.

“Insya-Allah, kita akan terus melangkah bersama ke arah sistem tenaga yang lebih selamat, mampu milik dan mampan demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.– BERNAMA